Jangan Bazir Masa Terlibat Pergeseran Politik – Arifin

Jangan Bazir Masa Terlibat Pergeseran Politik – Arifin

0
SHARE

MEMBAKUT, SABAH – Menjelang penaikan taraf Membakut sebagai daerah penuh tahun ini, pimpinan akar umbi digesa agar tidak membazirkan masa dan tenaga terlibat dalam pertelingkahan politik.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Arif berkata para pemimpin masyarakat serta ketua-ketua adat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Membakut dan Bongawan sebaliknya perlu memainkan peranan sebagai pemersatu dalam muafakat berusaha menjadikan daerah berkenaan sebagai daerah contoh di Sabah.

“Para pimpinan akar umbi di kedua-dua DUN ini perlu berlapang dada dan sentiasa bermuafakat antara kita dan berbincang untuk kebaikan bersama.

“Apapun pegangan agama, aliran politik dan bangsa serta keturunan, inilah kesempatan untuk kita menyatukan komuniti ataupun masyarakat berbilang kaum di daerah kita ini dan mana kita terkenal sebagai daerah pelbagai kaum seperti daerah lain.

“Inilah yang perlu dimainkan oleh ketua-ketua adat semua, kita adalah pemersatu atau menjadi penghubung kepada usaha muafakat di antara kita dan bersyukur kerana selama ini ketua-ketua adat memberi kerjasama kepada saya dan ahli parlimen dalam membangun kawasan ini.

“Bagi saya, kita sama-sama membangun daerah dan sama-sama bertanggungjawab untuk menjadi contoh kepada daerah-daerah yang lain.

“Sekiranya kita asyik memikirkan perbezaan politik, pertembungan antara politik maka mungkin kita tidak dapat memberi fokus kepada pembangunan daerah.

“Banyak lagi yang perlu kita fikirkan, yang perlu dirancang di daerah kita di DUN Membakut dan Bongawan kerana kedua-duanya memerlukan lebih banyak pembangunan termasuk dari sudut kemudahan hospital kita yang masih terkebelakang,” jelas beliau.

Dalam ucapannya, Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut turut mengingatkan pegawai daerah perlu memberi tumpuan menyelaras jabatan serta agensi kerajaan di daerah baharu berkenaan bagi memudahkan perjalanan pentadbiran seterusnya memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat di kedua-dua DUN terbabit.

Beliau ditemui media dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Bersama Ketua-Ketua Jabatan Daerah Membakut Tahun 2023, pada Jumaat.

Pada majlis itu, lebih 30 gerai daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan menyediakan juadah aidilfitri kepada kira-kira 1,000 pengunjung di Perkarangan Pejabat Daerah  — JABATAN PENERANGAN SABAH