KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan persekutuan perlu memastikan pembayaran balik pinjaman sedia ada kekal tidak terjejas dengan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini.
Bank pusat menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3 peratus sebagai tindak balas kepada prestasi ekonomi negara yang semakin kukuh dan dalam usaha mengawal inflasi.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, sambil memahami potensi faedah kenaikan OPR ke atas ekonomi negara, beliau juga mengambil berat tentang kesan kewangan kepada rakyat Malaysia, khususnya, rakyat Sabah.
“Saya menggesa kerajaan mengesahkan bahawa pembayaran balik semua pinjaman yang dibuat sebelum kenaikan OPR tidak akan terjejas dan bayaran balik ansuran akan kekal seperti sebelum kenaikan.
“Ini akan memastikan beban kewangan rakyat kita tidak meningkat berikutan perubahan dalam OPR,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, keperluan untuk mengesahkan bahawa kenaikan itu tidak menjejaskan pinjaman terdahulu adalah penting kerana ia memberikan rasa keselamatan dan kestabilan kewangan bagi peminjam yang telah merancang kewangan berdasarkan syarat pinjaman sedia ada.
“Sebarang peningkatan mendadak dalam pembayaran balik pinjaman berikutan kenaikan OPR boleh menyebabkan kesukaran kewangan bagi mereka yang terjejas, terutamanya bagi mereka yang mempunyai bajet yang ketat,” katanya.
Jeffrey yang juga merupakan Ahli Parlimen Keningau berkata, beliau mengiktiraf kepentingan ekonomi yang stabil dan berkembang, serta keperluan untuk mengawal inflasi.
“Bagaimanapun, adalah penting untuk mempertimbangkan kesejahteraan rakyat kita dan memastikan perubahan dasar tidak memberi kesan buruk kepada mereka.
“Dengan mengekalkan bayaran balik ansuran pinjaman sedia ada, kita boleh membantu mengurangkan kebimbangan kewangan rakyat Sabah dan menyumbang kepada persekitaran ekonomi yang lebih stabil,” katanya.






