Berdialog Lebih Baik Dari Demonstrasi – Mustapha

Berdialog Lebih Baik Dari Demonstrasi – Mustapha

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Dalam usaha menstabilkan bekalan air di Sepanggar dan kawasan-kawasan lain di Sabah, kaedah berdialog lebih konstruktif daripada berdemonstrasi.

Demikian kata Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha Sakmud, sebagai membalas satu notis pelawaan kepada penduduk kawasan itu untuk “merusuh” di perkarangan ibu pejabat Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) hari ini.

Notis berkenaan telah tular di WhatsApp sejak Jumaat lalu. Walau bagaimanpun, tinjauan wartawan Sabah News ke lokasi di Wisma Muis dan Gaya Park, Penampang, tidak menemukan sebarang aktiviti.

Pengerusi acara demikian juga tidak diketahui lantas boleh dianggap bahawa ianya hanya sebuah gertakan atau percubaan provokasi.

“Saya menyeru kepada kumpulan yang ingin berdemonstrasi di pejabat JANS agar dapat mengutarakan masalah mereka mengikut saluran yang betul.

“Isu sebenar krisis air di Sepanggar terutamanya adalah ketidakcukupan sumber air daripada loji Telibong dan Moyog. Kedua-dua loji air berkenaan sedang beroperasi melebihi had yang sepatutnya.

“Projek penambahan bekalan air yang di kenali sebagai Telibong 2 yang sedang dalam perlaksanaan terlewat dari jadual asal dan perlu di siapkan segera untuk menambah bekalan sumber air,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Mustapha menyarankan mana-mana pihak yang ingin membuat demonstrasi agar berunding secara baik dengan JANS dan mendengar taklimat berkenaan isu air ini.

“Saya merayu agar sesi dialog dibuat supaya semua pihak memahami isu sebenar dan punca kelewatan projek berkenaan,” tegasnya.