Tanah Kerajaan Negeri Sabah, Sarawak Yang Gagal Dibangunkan Agensi Persekutuan Akan Diambil...

Tanah Kerajaan Negeri Sabah, Sarawak Yang Gagal Dibangunkan Agensi Persekutuan Akan Diambil Semula

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Tanah kepunyaaan kerajaan negeri dan Sarawak untuk agensi persekutuan kedua-dua negeri terbabit akan diambil semula jika gagal dibangunkan dalam tempoh lima tahun.

Memetik sumber Berita Harian, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, konsep terbabit telah dipersetujui menerusi perundingan Sekretariat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di antara kerajaan Sabah, Sarawak dan Persekutuan.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan pelaksanaan kuasa mengambil semula tanah oleh dua kerajaan negeri tersebut akan bermula selepas semua aspek berkaitan dimuktamadkan dalam satu sesi mesyuarat teknikal yang bakal diadakan kelak

“Dalam konteks tanah, agensi kerajaan persekutuan dulu ada mengambil tanah untuk pembangunan, tidak kira balai polis atau bangunan keperluan kerajaan persekutuan, tapi malangnya setelah lima tahun dan sebagainya tanah tidak dimajukan.

“Maknanya tanah itu macam terbiar, jadi dalam perundingan (Sekretariat MA63), dipersetujui secara dasar bahawa mana-mana tanah yang diambil oleh kerajaan persekutuan dan dibayar pampasan tapi tidak dimajukan setelah tempoh lima tahun maka ia kena dikembalikan kepada kerajaan Sabah dan Sarawak.

“Kerajaan negeri Sabah dan Sarawak akan membayar balik pampasan mengikut kadar dulu dan kalau tanah terbabit sudah dibangunkan sebahagian sebelum terbiar, kita kembalikan kos membina infrastruktur dan sebagainya yang dibelanjakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Apresiasi dan sambutan Aidilfitri Lembaga Koko Malaysia (LKM), di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching dan Pengerusi LKM, Datuk Matbali Musah.

Sementara itu, Fadillah turut berkata konsep pengambilan semula tanah itu sudah dipersetujui dan kini hanya menunggu mesyuarat teknikal untuk memuktamadkan rundingan.

“Hari itu sudah dtentukan (mesyuarat teknikal) tapi ditangguhkan kerana masih ada beberapa perkara yang belum dimuktamadkan oleh Kementerian Kewangan,” katanya.

Katanya hal berkaitan tanah itu adalah antara perkara yang lebih mudah dimuktamadkan dalam rundingan MA63, selain beberapa lagi perkara lain yang masih dalam proses yang sama.

Antara yang masih dirunding katanya ialah soal pentadbiran pendidikan dan kesihatan bagi mengatasi cabaran yang dihadapi Sabah dan Sarawak dalam membangunkan kedua-dua bidang ketika ini.

“Cabaran Sabah dan Sarawak ialah semua perancangan berhubung pendidikan dan kesihatan dilaksanakan di ibu pejabat iaitu di Putrajaya termasuk pengambilan guru dan pegawai kesihatan.

“Apabila tawaran (pengambilan jawatan) dibuka, ditemuramah dan jawatan diisi, kebanyakannya tidak mahu pindah atau tidak mahu bertugas di Sabah dan Sarawak kerana memikirkan soal pedalaman.

“Jawatan diisi tapi tiada pegawai yang datang bertugas di Sabah dan Sarawak. Jadi kalau boleh dikembalikan pentadbiran kesihatan dan pendidikan khususnya pengambilan kakitangan kepada Sabah dan Sarawak.

“Ia bagi memastikan jawatan diisi dan kakitangan yang diambil bertugas di Sabah Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, proses rundingan berhubung perkara itu ketika ini masih di peringkat menunggu terma yang ditentukan kerajaan Sabah dan Sarawak untuk diperincikan dengan kerajaan Persekutuan.