KUALA LUMPUR – Penyerang import baharu Sabah FC, Ramon Machado muncul wira selepas menjaringkan dua gol termasuk jaringan kemenangan pada saat akhir untuk membantu pasukan menewaskan Kuching City FC 4-3 pada aksi Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu, hari ini.
Memetik laporan Bernama, pemain kelahiran Brazil berusia 32 tahun itu terlebih dahulu memperkenalkan dirinya kepada peminat skuad Sang Badak dengan bergaya apabila menjaringkan gol kedua pasukan menerusi tandukan pada minit ke-27 selepas Saddil Ramdani meletakkan Sabah di hadapan menerusi penalti pada minit ke-12.
Kuching City bimbingan jurulatih berpengalaman Irfan Bakti Abu Salim tampil lebih segar pada separuh masa kedua apabila berjaya meledak gol pertama hasil penyudah Amir Amri Salleh pada minit ke-55, namun pasukan tuan rumah pantas melebarkan semula kedudukan menerusi Stuart Wilkin tiga minit kemudian.
Meskipun mendahului 3-1, kealpaan pasukan tuan rumah membawa padah yang menyaksikan Kuching City berjaya mengikat kedudukan menerusi dua gol penyerang import sensasi Abu Kamara masing-masing pada minit ke-67 dan minit ke-86.
Bagaimanapun, jaringan Machado pada masa kecederaan babak kedua memastikan Sabah mengutip tiga mata yang juga kemenangan kedua berturut-turut pasukan sekali gus memintas Kedah Darul Aman FC di kedudukan keempat liga dengan mengumpul 30 mata.

Keputusan itu menyaksikan Kuching City yang menghuni kedudukan kedua tercorot masih gagal meraih sebarang kemenangan dalam 14 perlawanan selepas kali terakhir mencatatkan keputusan positif ketika menewaskan Kelantan 2-1 pada Februari lepas.
Sementara itu, penyandang juara Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengukuhkan cengkaman di persada liga selepas memanfaatkan aksi di laman sendiri untuk menewaskan Negeri Sembilan FC 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri.






