
KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan memastikan Peraturan Tetap Operasi Pengendalian Bencana (PTO) Gempa Bumi sentiasa dikemas kini agar pengurusan bencana gempa bumi terutamanya di Sabah mampu ditadbir urus dengan lebih efisien.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata ini berikutan terdapat beberapa daerah di Sabah yang dikategorikan sebagai kawasan aktif gempa bumi.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan pihaknya mendapatkan input termasuk dari pakar di pusat pengajian tinggi bagi mengenal pasti prosedur operasi standard (SOP) dan apa teknologi yang boleh digunakan.
“Satu kajian telah dikeluarkan pada November 2033 berkaitan dengan risiko penilaian gempa bumi di Sabah dan didapati keadaan negeri ini masih berada dalam kawasan aktif berlakunya gempa bumi.
“Di Sabah, daerah Ranau merupakan satu-satunya daerah yang terlibat dalam kategori risiko tinggi. Manakala beberapa daerah lain sekitar Ranau pula dikategorikan sebagai risiko sederhana seperti Kota Belud, Tuaran, Papar, Kota Marudu dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Bengkel Semakan Peraturan Tetap Operasi Pengendalian Bencana Gempa Bumi bertempat di Cafe Boleh, Sutera Harbour, di sini, semalam.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pengemaskinian PTO Gempa Bumi amat penting dan perlu sentiasa selaras dengan peredaran masa dan teknologi terkini yang diguna pakai oleh pelbagai agensi terlibat dalam memastikan kesiapsiagaan berhadapan bencana gempa bumi.
“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) selaku peneraju pengurusan bencana negara bertanggungjawab mengadakan bengkel mengemas kini PTO Gempa Bumi khusus untuk mendapatkan input dan khidmat nasihat daripada pelbagai agensi yang terlibat.
“Sebagai contoh, antara teknologi dan aplikasi terkini adalah seperti teknologi pemetaan digital yang digunakan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).
“Selain itu, adanya aplikasi berkaitan pengurusan bencana seperti penginderaan jarak jauh, LiDAR (Light Detection and Ranging) dan pelbagai lagi teknologi terkini.
“Berteraskan bukti empirikal, kebarangkalian berlaku gempa bumi di Malaysia adalah tidak mustahil. Maka dengan itu, perkongsian maklumat dan keupayaan terkini setiap agensi melalui bengkel ini adalah mustahak dan penting,” katanya.





