Pasar Malam D’Soang Market Tarikan Baharu Sadong Jaya

Pasar Malam D’Soang Market Tarikan Baharu Sadong Jaya

0
SHARE
Dbkk
Lokasi D'Soang Market di Sadong Jaya ( Sumber Foto: Ihsan Floyd JD )

KOTA KINABALU, SABAH – Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan membuka satu lagi pasar malam bertempat di Sadong Jaya yang dikenali sebagai D’Soang Market @ Sembulan River, Sadong Jaya.

Ketua Pengarah DBKK, Junainah Abbie berkata, D’Soang Market akan mula beroperasi pada Khamis ini (5 Oktober) seawal jam 5.00 petang sehingga 12.00 tengah malam.

“Pasar malam ini akan dibuka setiap hari iaitu Isnin hingga Ahad dengan menawarkan pelbagai jenis jualan makanan.

“Sebanyak 30 buah khemah jualan akan mula beroperasi yang terdiri daripada pengusaha kecil dalam kalangan penduduk setempat.

“Uniknya pasar malam ini terdapat jualan buah-buahan bermusim seperti pelbagai jenis buah durian, manggis, langsat dan banyak lagi serta jualan makanan tradisi ala kampung,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Junainah berkata D’Soang Market bertujuan untuk membantu meningkatkan sosioekonomi kawasan Sembulan dan penduduk tempatan.

“Ia diharap menjadi salah satu tarikan baharu pengunjung dan pelancong yang datang ke Kota Kinabalu.

“Orang ramai bolehlah datang berkunjung ke D’Soang Market bersama ahli keluarga dan rakan taulan bagi memeriahkan dan merasai pengalaman baharu di pasar malam ini,” tambahnya.