
KUDAT, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat berjaya menahan sebuah bot nelayan jenis pukat tundakerana melakukan aktiviti menangkap ikan di bawah tiga batu nautika, awal pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, bot terbabit berjaya dikesan lebih kurang pukul 1.00 pagi di muara Marina ketika bot ronda Zon Maritim Kudat melaksanakan rondaan Op Pluto Timur 2/2013 / Op Tiris di sekitar perairan tersebut.
“Semasa dikesan, anggota Zon Maritim Kudat mendapati bot berkenaan sedang menarik pukat dengan jarak kurang tiga batu nautika daripada daratan berhampiran.
“Hasil pemeriksaan mendapati, tiga individu termasuk tekong yang mengendalikan bot berkenaan merupakan warga Filipina berumur lingkungan 19 hingga 30 tahun.
“Pemeriksaan lanjut juga mendapati, kesemua mereka membawa dokumen pengenalan diri yang meragukan serta tidak memiliki lesen perikanan,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Beliau berkata, suspek bersama bot dan barang rampasan kemudiannya ditahan dan dibawa ke jeti untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Kudat untuk siasatan lanjut.





