KOTA KINABALU, SABAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting Datuk George Hiew Vun Zin menggesa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Sabah untuk meningkatkan usaha menangani masalah sampah sarap di tepi pantai di Sabah, khususnya di kawasan Sandakan.
Beliau menegaskan bahawa segala usaha kerajaan negeri untuk mempromosi tempat peranginan dan pakej pelancongan di Sabah akan menjadi sia-sia jika pelancong datang dan melihat keadaan pantai negeri ini kotor dan penuh dengan sampah di atas air.
“Apatah lagi sekarang di mana segalanya boleh dikongsi di media sosial, bagaimanakah jika pelancong-pelancong ini menyebarkan tentang imej buruk di pantai kita di media sosial, bukankah kita akan menunjukkan imej yang buruk ini kepada tatapan seluruh dunia?” katanya di dalam sebuah kenyataan.
George berkata beliau juga telah membangkitkan perkara tersebut di dalam ucapan perbahasan beliau semasa sesi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, semalam.
Menurutnya, perkara tersebut pernah berlaku di mana beberapa pelancong China telah memberi komen tentang tahap kebersihan yang rendah di pulau-pulau dan pantai di Sabah di akaun media sosial mereka masing-masing.
“Apabila perkara sebegini berlaku, pihak Kementerian yang harus bertanggungjawAB.Pihak Kementerian harus mengambil serius perkara ini dan mengambil langkah segera untuk memastikan kebersihan pantai-pantai kita di Sabah, yang merupakan salah satu tarikan utama Sabah kepada pelancong luar negara,” tambahnya.
George juga memohon agar kerajaan negeri Sabah memperuntukkan dana untuk mencantikkan dan membersihkan kawasan Pasir Putih, satu-satunya pantai pasir yang berdekatan dengan bandar Sandakan.
Katanya, Pasir Putih pernah menjadi pusat tumpuan pelancongan dan pengunjung dari tahun 1960-an hingga 1980-an, tetapi kini sudah kurang dikunjungi pelancong kerana kurang dijaga dan kotor.
“Justeru, saya berharap kerajaan negeri dapat memperuntukkan dana untuk melabur di Pasir Putih melalui Majlis Perbandaran Sandakan, sekaligus membersihkan, mencantikkan, dan menceriakan Pasir Putih sehingga kembali ke zaman kegemilangannya,” katanya.
Dalam masa itu, George juga membangkitkan keperluan untuk menambah jumlah kakitangan yang bertugas di kesemua lapangan terbang di Sabah, termasuk untuk kakitangan di kaunter maklumat dan juga penterjemah bahasa.
Katanya, ini adalah salah satu cara untuk memastikan Sabah dapat menyediakan perkhidmatan terbaik yang berkualiti kepada pelancong luar negara yang datang ke negeri ini.





