KPKM Suntik RM3.37 Juta, Rancakkan Industri Kopi Pedalaman Sabah

KPKM Suntik RM3.37 Juta, Rancakkan Industri Kopi Pedalaman Sabah

0
SHARE
_cuva

NABAWAN: Kerajaan Persekutuan bersama-sama Jabatan Pertanian Sabah komited membantu para pengusaha kopi di pedalaman Sabah untuk memainkan peranan yang aktif dalam merancakkan lagi industri kopi Sabah dan juga Malaysia.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Coffee House dan Cafe Coffeelive di daerah Nabawan.

Menurut Arthur, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Jabatan Pertanian Malaysia bermula RMKe-11 dan diteruskan dalam RMKe-12 melalui Projek Pembangunan Industri Kopi dengan peruntukan sebanyak RM4.5 juta serta sasaran keluasan 300 hektar.

Jelasnya lagi berdasarkan data perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian Sabah, setakat tahun 2022, pengeluaran kopi masih rendah dengan tahap kecukupan hanya 35%.

Data ini berdasarkan keluasan bertanam iaitu 1,434.2 hektar, luas berhasil 936.1 hektar dan pengeluaran 936.1 tan.

Bagi pengeluaran kopi di daerah Nabawan dan Sook, keluasan bertanam setakat ini adalah 341.6 hektar dengan pengeluaran sebanyak 248 tan setahun mewakili 26.5% pengeluaran kopi negeri Sabah. 

Ini secara tidak langsung mencerminkan industri kopi mempunyai potensi yang masih luas dan terbuka untuk diterokai.

Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, peningkatan pengeluaran kopi perlulah disokong dengan aktiviti pemprosesan hiliran.

Produk hiliran berasaskan Kopi akan dapat menambah nilai hasil Kopi untuk pasaran tempatan dan juga eksport seterusnya meningkatkan pendapatan pengusaha kopi.

“Oleh yang demikian, bagi membantu pengusaha kopi khususnya di Nabawan dan Sook, KPKM telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM3.37 juta merangkumi RM2.24 juta untuk pembinaan Coffee House dan Café Coffeelive di Stesen Pertanian Sepulut serta RM1.13 juta bagi menaik taraf pusat pengumpulan hasil kopi di Daerah Nabawan. 

“Projek yang dibawa melalui Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan bagi Mengoptimumkan Penggunaan Tanah dengan kerjasama kerajaan negeri merupakan inisiatif quick-win KPKM dan dijangka akan dapat disiapkan menjelang Februari 2025,” jelasnya.

Sehubungan itu, Arthur menyeru agar para pengusaha tanaman kopi di daerah Nabawan dan Sook menggunakan kemudahan ini sepenuhnya nanti dan tidak lagi perlu pergi jauh ke Tenom.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan agar aspek pengurusan dan pengendalian Coffee House dan Café Coffeelive perlu dilaksanakan dengan teratur dan memberi penekanan dari segi kebersihan dan amalan mesra alam.

Beliau percaya projek ini akan memberi impak dalam membantu pengusaha tanaman kopi meningkatkan pendapatan untuk memperbaiki taraf sosio ekonomi, memberi peluang pekerjaan terutamanya kepada belia.

Seterusnya menghasilkan produk hiliran kopi yang berkualiti dan selamat di makan selain memenuhi standard pensijilan yang ditetapkan untuk pasaran dalam dan luar negeri.