KOTA KINABALU, SABAH – Seorang bayi berusia empat bulan di negeri ini merupakan antara 17 kes kematian akibat COVID-19 yang dilaporkan di Malaysia kelmarin, Khamis.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, bayi tersebut disahkan meninggal dunia di Hospital Tawau, Sabah.
“Kes ke-167032 yang melibatkan bayi warga tempatan itu dilapor mempunyai latar belakang penyakit iaitu masalah jantung,” jelasnya.
Kes kematian ke-812 itu merupakan korban termuda akibat virus COVID-19 selepas bayi berusia setahun disahkan meninggal dunia tahun lepas.
Sebelum ini, seorang bayi perempuan warga tempatan berusia setahun disahkan meninggal dunia pada 6 Oktober lalu di Hospital Semporna, Sabah.
Negeri Sabah kelmarin (Khamis) mencatatkan kes baharu positif COVID-19 sebanyak 175 kes, ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 49,785 kes.

Tiga (3) kes kematian direkodkan kelmarin iaitu satu (1) kes di daerah Keningau dan dua (2) kes di daerah Tawau.
Dilaporkan juga seramai 519 pesakit COVID-19 telah discaj / sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 46,757 orang.