KM HAJIJI SAMBUT BAIK KEPUTUSAN UK BERKAITAN PELANCONGAN KE SABAH

KM HAJIJI SAMBUT BAIK KEPUTUSAN UK BERKAITAN PELANCONGAN KE SABAH

0
SHARE
Hajiji
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor...

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri mengalu-alukan keputusan kerajaan United Kingdom (UK) untuk menukar nasihat perjalanannya bagi warga Britain yang melancong ke Sabah.

Dalam mengalu-alukan keputusan itu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri Sabah berkata Sabah adalah tempat yang selamat untuk dikunjungi dan berniaga.

Susulan penilaian keselamatan terkini oleh Majlis Keselamatan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Negeri Sabah serta Polis Diraja Malaysia telah memberi jaminan bahawa tahap keselamatan di Sabah kekal terkawal.

“Perintah-perintah berkurung telah ditarik balik. Sabah adalah tempat yang selamat untuk dikunjungi dan untuk berniaga,” katanya sambil menambah lebih 150,000 pelancong asing telah melawat pantai timur Sabah dari Januari hingga September tahun ini.

Dengan keputusan kerajaan UK, Ketua Menteri berharap lebih ramai warga Britain akan melawat Sabah.

Beliau juga berharap negara lain yang telah mengeluarkan nasihat perjalanan akan mengambil iktibar daripada keputusan kerajaan UK.

Suruhanjaya Tinggi British di Malaysia dalam satu kenyataan berkata kemas kini itu adalah hasil semakan rapi oleh Pejabat Luar, Komanwel dan Pembangunan UK (FCDO) dan mewakili perubahan besar pertama kepada nasihat perjalanan UK untuk Sabah sejak 2013.