KOTA KINABALU, SABAH – Kontraktor di zon Sandakan diarah ke lokasi kerosakan paip yang diadukan dalam tempoh dua jam bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan.
Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Limus Jury berkata kementeriannya melalui Jabatan Air Negeri Sabah telah mengambil tindakan dengan mengeluarkan kontrak bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan paip bekalan air yang dibahagikan kepada tiga zon di daerah Sandakan.
“Kementerian melalui Jabatan Air Negeri Sabah mengeluarkan Kontrak Penyelenggaraan Paip Bekalan Air di Zon 1 (meliputi kawasan dari Batu 1 hingga Batu 4) untuk dua tahun di Sandakan.
“Selain itu, Kontrak Penyelenggaraan Paip Bekalan Air di Zon 2 (meliputi kawasan dari Batu 4 hingga Batu 16) untuk dua tahun di Sandakan.
“Turut dikeluarkan, kontrak Penyelenggaraan Paip Bekalan Air di Zon 3 (meliputi kawasan dari Batu 16 hingga Batu 32) untuk dua tahun di Sandakan.
“Oleh itu, sekiranya pihak Jabatan Air Daerah Sandakan mendapat laporan gangguan bekalan air disebabkan oleh kerosakan paip, Kontraktor di zon terbabit dengan serta merta diarahkan dalam tempoh dua jam perlu ke tempat kejadian dan melaksanakan kerja-kerja pembaikan paip dengan segera,” katanya dalam sesi pertanyaan -pertanyaan untuk jawapan lisan di Dewan Undangan Negeri Sabah.
Menurut beliau, kontrak penyelenggaraan paip bekalan air selama 24 bulan itu telah ditawarkan kepada tiga kontraktor utama mengikut kontrak zon masing-masing.
Katanya, skop pelaksanaan kontrak penyelenggaraan paip bekalan air adalah melibatkan seperti kerja pembaikan paip air yang berdiameter 50mm dan ke bawah termasuk kerja-kerja pengorekan dan pembaikan semula lokasi paip bocor serta kerja pembaikan paip air yang melebihi 50mm ke atas termasuk kerja-kerja pengorekan dan pembaikan semula lokasi paip bocor.
Turut termasuk dalam skop kerja ialah kerja-kerja pembaikan atau penggantian ruang kebuk (manhole chamber) dan lengkapan (fitting) dan kerja-kerja penyenggaraan rutin seperti mengecat exposed pipe dan jejambat paip (pipe bridge) untuk mengelakkan karat.
Mengulas lanjut, ujar beliau, ketiga-tiga Kontrak Penyelenggaraan Paip Bekalan Air ini telah mula dilaksanakan masing-masing pada Mei dan Jun 2022 dan akan tamat pada Mei 2024 untuk Zon 1 dan Jun 2024 untuk Zon 2 serta Zon 3.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan diajukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura Calvin Chong Ket Kiun mengenai berapa jumlah kontraktor yang telah dilantik untuk melaksanakan kerja-kerja penggantian paip di bawah kontrak penyelenggaraan paip memandangkan di kawasan Sandakan masih banyak aduan paip yang sudah usang dan mulai mereput serta paip bocor berlaku.
Limus menjawab bersama soalan daripada ADUN Sungai Manila Datuk Mokran Ingkat berkaitan tindakan jangka pendek Jabatan Air untuk memastikan gangguan bekalan air tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk pulih dan menjejaskan kesejahteraan rakyat khususnya di kawasan Sungai Manila dan sekitarnya, masih lagi mengalami gangguan bekalan air sehingga berhari-hari.
Tambah Limus, bagi tindakan penyelesaian di kawasan Sungai Manila dan sekitarnya, Projek Menaik Taraf Sistem Bekalan Air Termasuk Tangki Simpanan di Sandakan yang mula dilaksanakan sejak Julai lalu, kini di peringkat pelaksanaan kerja-kerja penggantian paip lama sepanjang 14 km di kawasan tersebut.
Beliau turut memaklumkan, setakat Oktober 2023, 45 peratus kerja-kerja penggantian paip telahpun dilaksanakan. — JABATAN PENERANGAN SABAH





