SEMPORNA: Pulau Bohey Dulang di Taman Marin Tun Sakaran, yang ditutup sementara sejak 10 Jun lalu bagi pelaksanaan Operasi Mitigasi Ancaman Buaya, akan dibuka semula kepada orang awam bermula 14 Jun 2025.
Menurut Pengurus Taman Marin Tun Sakaran, Ghazalie Pg. Hindi, operasi yang dijalankan oleh Taman-Taman Sabah (TTS) dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar (JHL), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan komuniti tempatan telah berjaya dilaksanakan dengan penangkapan buaya yang menjadi ancaman kepada pengunjung kawasan tersebut.
“Kerja-kerja pemantauan keselamatan akan diteruskan secara berkala oleh semua agensi terlibat bagi memastikan kawasan sentiasa selamat untuk aktiviti pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Penutupan sementara sebelum ini dilakukan dari 10 hingga 13 Jun 2025, sebagai langkah keselamatan dan bagi memastikan kelancaran operasi mitigasi yang melibatkan tindakan pantas menangani kehadiran buaya di kawasan tersebut.
Pulau Bohey Dulang merupakan antara destinasi pelancongan marin terkenal di Semporna yang menerima ribuan pelawat tempatan dan antarabangsa setiap tahun.
Pihak pengurusan Taman-Taman Sabah menyeru semua pengunjung untuk mematuhi arahan keselamatan dan sentiasa berwaspada sepanjang berada di kawasan taman marin tersebut.






