
KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah (KePKAS) memperkenalkan Kempen DEC-Cover Sabah bagi memacu sektor pelancongan negeri ke tahap lebih tinggi.
Menterinya, Datuk Christina Liew berkata kempen yang akan diadakan sepanjang Disember itu menjanjikan pelbagai aktiviti hebat yang bakal mempesonakan pengunjung dan penduduk tempatan.
“Antara yang menjadi tumpuan adalah Sabah Tanah Airku Countdown Mega Run 2023 yang selaras dengan Hari Kembara Apresiasi Sabah melibatkan 28 daerah dengan 1,000 pelari berkompetensi.
“Mereka akan membawa bendera Negeri Sabah sepanjang larian dengan jarak perjalanan berjumlah 200 jam menuju ke Kota Kinabalu.
“Selain itu, Family Fun Run juga dianjurkan bertujuan untuk menyatukan 2,000 peserta demi memupuk ikatan erat dan kegembiraan bersama keluarga serta rakan,” katanya kepada pemberita semasa sidang media.
Beliau berharap kempen berkenaan bukan sahaja menjanjikan sambutan yang meriah tetapi juga memupuk penglibatan masyarakat dan meningkatkan kesedaran tentang kekayaan budaya di negeri ini.
Oleh itu, menurut Christina, orang ramai dijemput menyertai sambutan DEC-Cover Sabah yang menganjurkan pelbagai aktiviti seperti Miss Merdeka 2023, Battle of Buskers, Borneo Culture Festival, Jelajah Sabah Foodie dan Tamu-Bah yang mempamerkan jualan peniaga tempatan.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Tetap II KePKAS, Alesia Sion, Pengerusi Majlis Wanita Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun Negeri Sabah (KDCA), Joanna Kitingan dan Komander Udara Pangkalan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu, Kapten Mohamad Sham Saimon. — JABATAN PENERANGAN SABAH





