TPNS Bantu Hampir 3,000 Pelajar

TPNS Bantu Hampir 3,000 Pelajar

0
SHARE
Arifin
Arifin (empat dari kiri) diiringi Ghulamhaidar (tiga dari kiri) merakamkan gambar kenangan bersama sembilan penerima bantuan TPNS ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Bantuan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) membantu hampir 3,000 pelajar Sabah untuk melanjutkan pengajian di dalam dan luar negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata sejak ditubuhkan tahun lalu, RM3.7 juta daripada RM55.7 juta jumlah sumbangan dana yang diterima oleh tabung tersebut telah digunakan bantuan kepada golongan pelajar daripada B40 dan M40.

“Setakat Disember ini, TPNS melalui Kumpulan Yayasan Sabah telah menggunakan RM3.7 juta untuk memberikan bantuan pendidikan kepada 2,890 orang siswa-siswi yang sedang menuntut di dalam Sabah, Sarawak, Semenanjung Malaysia dan juga di luar negara.

“Seperti yang semua sedia maklum, walaupun Kerajaan Negeri Sabah telah menawarkan pelbagai jenis tajaan bagi membantu anak-anak Sabah melanjutkan pelajaran, hakikatnya masih ramai yang memerlukan tajaan pendidikan, lebih-lebih lagi golongan B40 dan M40 yang sangat memerlukan bantuan.

“Tambahan pula, jumlah anak-anak Sabah yang layak untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi semakin meningkat.

“Kos pengajian yang semakin bertambah juga menjadi salah satu faktor yang menghalang anak-anak Sabah untuk melanjutkan pengajian,” jelas beliau.

Arifin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana TPNS memaklumkan, TPNS diwujudkan bagi menjadi salah satu platform untuk membantu lebih ramai lagi anak-anak Sabah yang berkelayakan untuk terus menuntut ilmu dalam pelbagai bidang yang diceburi.

“Usaha ini sejajar dengan usaha kerajaan dalam mengangkat martabat anak-anak Sabah melalui pendidikan.

“Ini selaras dengan usaha kerajaan dalam pembangunan modal insan tercapai yang juga merupakan salah satu hala tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.

Mengulas lanjut ujar Arifin, tabung berkenaan juga memberi fokus kepada bidang yang mempunyai kebolehpasaran yang tinggi di samping bidang-bidang lain.

“Kita fokus para pelajar dalam bidang-bidang yang kebolehpasarannya lebih diutamakan misalnya sains, teknologi, matematik dan sebagainya termasuk TVET.

“Tetapi bidang lain juga kita akan berikan perhatian seperti pendidikan khususnya pendidikan Islam untuk mencapai sasaran 9:10 dalam bidang pendidikan Islam di mana guru-guru agama dalam kalangan anak Sabah masih kurang,” katanya.

Beliau yang diiringi Pengarah Kumpulan Yayasan Sabah Datuk Seri Ghulamhaidar Khan Bahadar ditemui media selepas menyempurnakan simbolik penyerahan bantuan TPNS kepada sembilan pelajar yang sedang melanjutkan pengajian diperingkat sijil, diploma, ijazah dan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) di sini, pada Isnin. — JABATAN PENERANGAN SABAH