Rumah, 4 Kenderaan Datuk Vida Disita, Gagal Bayar Hutang Lebih RM1 Juta

Rumah, 4 Kenderaan Datuk Vida Disita, Gagal Bayar Hutang Lebih RM1 Juta

0
SHARE
Vida
Usahawan kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman atau dikenali sebagai Datuk Vida ( Sumber Foto: Gambar carian Google )

IPOH, PERAK – Kediaman bersama empat kenderaan milik usahawan kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida, disita hari ini selepas beliau gagal melangsaikan hutang lebih RM1 juta.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan, perintah sita itu dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas Hazmiza tidak membayar hutang berjumlah RM1,060,285 daripada kontraktor yang dilantik bagi pengubahsuaian sebuah kilang di Shah Alam menjadi studio.

Bailif Mahkamah Tinggi Ipoh yang ditemani peguam Samir Zainal dan wakil subkontraktor, Mohamad Taufik Kamarul, tiba di kediaman Hasmiza di Persiaran Bukit Meru pada 9 pagi tadi. Bagaimanapun mereka hanya dibenarkan masuk sekitar 10.30 pagi selepas kakitangan Hazmiza tiba.

Menurut Samir, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan penghakiman pada 29 Oktober 2023 yang memerintahkan Hasmiza menyelesaikan hutang itu dan jika gagal berbuat demikian writ rampasan dan penjualan kemudiannya akan dikeluarkan.

“Semua barang di dalam rumah, kecuali bilik berkunci Vida, sudah ditandakan oleh bailif selepas hampir empat jam.

“Dia mempunyai tempoh dua minggu sehingga 9 Disember ini untuk menjelaskan hutang atau jika tidak, barang-barang itu akan dilelong,” katanya seperti dilaporkan akhbar berkenaan.

Samir turut mendedahkan kakitangan Hazmiza memaklumkan usahawan kosmetik itu kini berada di China dan akan menghubungi beliau tidak lama lagi.

Proses sitaan itu dijalankan dengan kerjasama penuh daripada kakitangan usahawan kosmetik itu.

Sementara itu, Mohamad Taufik berkata dia menuntut hutang itu sejak 2018 apabila Hasmiza mengupah firma perunding pengubahsuaian yang kemudian melantiknya secara subkontrak bagi perkhidmatan ubahsuai terbabit.

Katanya, pihaknya tidak menerima bayaran kerana usahawan itu gagal membuat pembayaran kepada firma perunding berkenaan yang menyebabkan beliau memfailkan kes muflis terhadap firma terbabit.