KKM Bakal Keluarkan Arahan Pengambilan Dos Penggalak Ketiga Vaksin

KKM Bakal Keluarkan Arahan Pengambilan Dos Penggalak Ketiga Vaksin

0
SHARE

PUTRAJAYA, SELANGOR – Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengeluarkan arahan pengambilan dos penggalak ketiga vaksin COVID-19 terutama bagi golongan rentan dan berisiko tinggi dalam masa terdekat, susulan peningkatan kes kebelakangan ini.

Memetik sumber Bernama, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata bekalan vaksin masih mencukupi dan belum mencapai tarikh luput.

Katanya, ia berkesan melindungi orang ramai daripada jangkitan mutasi dan strain baharu COVID-19 untuk pelaksanaan dos penggalak ketiga.

“Dos penggalak perlu untuk melindungi kumpulan rentan termasuk warga emas dan golongan komorbid yang mudah terdedah kepada risiko dan kesan memudaratkan.

“KKM menyedari berlaku sedikit peningkatan kes COVID-19 dengan lebih 12,000 kes dicatat.

“Ia sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan ahli Kabinet semalam,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan KKM di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Dr Zaini Ujang dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

Semalam, kes COVID-19 dalam negara dilapor meningkat kepada 12,757 kes pada Minggu Epidemiologi ke-49 iaitu dari 3 hingga 9 Disember lalu, berbanding 6,796 kes dilaporkan pada minggu sebelumnya.

Kadar kemasukan pesakit COVID-19 termasuk pesakit yang disyaki COVID-19 ke fasiliti kesihatan meningkat 1.4 peratus berbanding minggu sebelumnya serta pengisian katil unit rawatan rapi (ICU) juga meningkat 1.4 peratus.

Dr Dzulkefly berkata, peningkatan itu adalah berikutan pergerakan rentas negeri menjelang cuti akhir tahun tanpa pemakaian pelitup muka, selain keadaan cuaca.

“Elok digunakan pelitup muka dalam keadaan sesak dan individu bergejala,” katanya.

Mengenai keperluan saringan ketat di pintu masuk negara, beliau berkata, langkah intervensi dan mitigasi sesuai akan diambil segera jika diperlukan.

“Kita tidak mahu terlalu cemas, tapi kita juga tidak ambil mudah,” katanya.