SEMPORNA, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Semporna berjaya merampas empat buah bot yang sedang melakukan aktiviti pengeboman ikan di Timur Laut Tanjung Tabu- Tabu petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, ketika insiden, dua buah bot peronda Maritim Malaysia yang sedang dalam penugasan Operasi PlutoTimur, telah menjalankan rutin rondaan di sekitar kawasan Tanjung Tabu-Tabu.
“Setibanya di lokasi, anggota bot peronda Maritim Malaysia berjaya mengesan empat buah bot tiada nombor pendaftaran yang sedang berapung di kawasan cetek dalam keadaan mencurigakan.
“Ketika dihampiri untuk pemeriksaan, tekong bot bersama awak-awaknya telah bertindak nekad terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan daratan berhampiran.
“Hasil pemeriksaan di dalam kesemua bot didapati sejumlah ikan yang dianggarkan hampir 50kg keseluruhannya, serta botol kaca mengandungi baja yang disyaki digunakan untuk melakukan aktiviti pengeboman ikan juga telah dijumpai di atas dua buah bot yang dirampas,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Hasil nilai rampasan dianggarkan hampir RM20 ribu manakala kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 26 kerana menangkap ikan menggunakan bahanletupan, racun dan sebagainya.
“Maritim Semporna tidak akan berkompromi dengan dengan mana-mana individu yang menjalankan aktivi pengeboman ikan kerana ia bukan sahaja salah disisi undang-undang malah boleh menjejaskan aktiviti pelancongan terutama para penyelam.
“Tambahan lagi, aktiviti ini akan memberi kesan negatif kepada ekosistem laut dan juga boleh menyebabkan kecederaan parah dan kematian,” tambahnya.





