KOTA KINABALU: Seorang lelaki mengalami cedera parah di muka dan badan akibat melecur selepas terkena renjatan elektrik ketika bertindak mencuri kabel pencawang milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) berhampiran Kampung Gentisan pada awal pagi Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, lelaki berusia 30-an parah melecur pada bahagian muka, leher, bahu dan lengan kanan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Kalsom Idris berkata, tindakan lelaki mencuri kabel itu turut membuatkan satu kampung bergelap akibat terputus bekalan elektrik.
Katanya, kejadian itu disedari oleh penduduk kampung selepas terdengar bunyi dentuman yang kuat sebelum bekalan elektrik terputus.
“Penduduk kampung terdengar suara orang menjerit meminta tolong dari tepi jalan sebelum menemui seorang lelaki berada dalam keadaan lemah sambil meraung kesakitan akibat cedera parah.
“Dalam kejadian itu, suspek disyaki terkena renjatan elektrik ketika cubaan mencuri kabel di pencawang SESB yang berada di kawasan berhampiran.
“Manakala, seorang lagi rakannya turut ikut cedera namun sempat melarikan diri sebelum polis tiba di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi.
Tambah beliau, suspek yang parah melecur itu kemudian dibawa ke Hospital Likas untuk rawatan lanjut oleh ahli keluarganya sendiri.
“Keadaan lelaki terbabit kritikal kerana mengalami kecederaan melecur tahap tiga di bahagian muka dan leher manakala tahap dua di bahagian bahu dan lengan kanan.
“Selain itu terdapat luka di bahagian kening kiri dan matanya bengkak serta tidak dapat dibuka,” katanya.
Kes kini masih dalam siasatan pihak polis di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat harta benda awam.






