KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Hari Raya 2024 yang berkuat mulai 5 sehingga 19 April.
Sempena itu, Ketua Penguatkuasa KPDN Sabah Zulfamy Mat Udi mengadakan ‘walkabout’ di Pasaraya Emart Lintas Jaya di sini pada Jumaat.
“Tempoh pelaksanaan adalah selama 15 hari iaitu lima hari sebelum hari perayaan, dua hari pada hari perayaan dan lapan hari selepas hari perayaan.
“Sebanyak 19 jenis barangan diwartakan bagi pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa 2024. Semakan harga boleh dibuat melalui laman web KPDN.
“Skim akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Anti-Keuntungan (AKHAP) 2011 dan membolehkan penentuan harga dibuat di peringkat pemborong dan peruncit,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, SHMPP itu dilaksanakan sebagai langkah menstabilkan harga barangan sepanjang musim perayaan Hari Raya Puasa dan memastikan ketersediaan bekalan di pasaran.
Ia juga sebahagian daripada usaha prihatin kerajaan untuk menstabilkan harga apabila permintaan dijangka meningkat bagi membolehkan rakyat Malaysia berbilang kaum, agama dan budaya menikmati skim ini dalam keadaan bahagia dan harmoni.
“KPDN Sabah telah menggerakkan 192 pegawai penguat kuasa dan 74 pegawai pemantau harga di lokasi strategik di seluruh negeri bagi memantau kewujudan bekalan dan pematuhan serta menjalankan pemeriksaan di pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah bagi keperluan perayaan.
“Pendekatan ini membolehkan penguatkuasaan dijalankan dengan lebih berkesan dan tindakan segera boleh diambil terhadap aduan pengguna sekiranya berlaku ketidakpatuhan,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Beliau berkata KPDN Sabah telah menjalankan pemeriksaan ke atas 15,937 premis sejak 1 Januari 2024 sehingga 5 April 2024 dan telah menghasilkan 282 kes dengan nilai kompaun RM 31,900 dengan anggaran nilai rampasan RM 2,191,101.






