Sabah Utamakan Pemberimilikan Tanah, Basmi Kemiskinan Dan Tingkatkan Taraf Hidup Rakyat

Sabah Utamakan Pemberimilikan Tanah, Basmi Kemiskinan Dan Tingkatkan Taraf Hidup Rakyat

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah memberi keutamaan kepada pemberimilikan tanah anak negeri bagi tujuan membantu usaha membasmi kemiskinan serta meningkatkan taraf hidup rakyat di negeri ini.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menjelaskan, terdapat dua jenis tanah digunakan untuk tujuan itu, iaitu tanah berstatus anak negeri (NT) dan ‘field register’ (FR).

Katanya, berdasarkan statistik Jabatan Tanah dan Ukur (JTU), jumlah geran tanah berdaftar NT atau FR setakat 31 Mac tahun ini telah mencecah 54 peratus daripada jumlah keseluruhan geran tanah yang berdaftar di Sabah.

“Jumlah geran tanah berdaftar NT/FR setakat 31 Mac 2024 adalah sebanyak 230,540 ataupun 54 peratus daripada jumlah keseluruhan geran tanah yang berdaftar di negeri Sabah.

“Manakala, jumlah tanah pajakan ataupun leases berdaftar setakat 31 Mac 2024 ialah, sebanyak 200,087 ataupun 46 peratus daripada jumlah keseluruhan geran tanah berdaftar,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Rabu.

Beliau berkata demikian, bagi menjawab soalan ADUN Dilantik, Datuk Raimie Unggi yang bertanya berapakah jumlah keluasan tanah dan bilangan geran NT dan CL yang telah diluluskan kerajaan kepada pemohon khususnya rakyat Sabah.

Dalam pada itu, Nizam turut menegaskan bahawa tanah pajakan penting dalam pembangunan ekonomi Sabah yang mana boleh dilihat menerusi kutipan hasil negeri, pembangunan, pelaburan dan juga peluang pekerjaan.

“Kerajaan negeri sentiasa memastikan keseimbangan di antara bilangan keseluruhan NT atau FR dan tanah pajakan (leases), iaitu dari segi pemberimilikan tanah demi mencapai objektif kerajaan negeri untuk membasmi kemiskinan dan meningkatkan pembangunan negeri,”katanya.