KUALA LUMPUR – Polis menahan dua lelaki berusia 29 dan 37 tahun yang cuba menceroboh Istana Negara ditahan kira-kira jam 4.40 petang semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata kedua-dua suspek datang menaiki sebuah Perodua Kembara yang tersimpan sebilah parang.
“Anggota polis di Pintu 3 menahan kenderaan suspek yang mana suspek memaklumkan mereka mahu berjumpa dengan Yang di-Pertuan Agong.
“Anggota polis di lokasi kemudian melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan dinaiki mereka dan menjumpai parang dalam kenderaan terbabit.
“Berikutan itu, kedua-dua lelaki tempatan yang bekerja sebagai buruh binaan dan penghantar makanan ditahan untuk siasatan,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Kedua-duanya direman empat hari sehingga 21 Mei mengikut Seksyen 447/511 Kanun Keseksaan.
Rusdi berkata siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958.
“Keputusan ujian saringan awal air kencing kedua-dua suspek didapati negatif dan semakan mendapati mereka tiada rekod jenayah lampau.
“Orang ramai diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan sesuatu berita yang tidak pasti berkaitan kejadian ini,” katanya.
Susulan kejadian, Pasukan Keselamatan Istana Negara kini mengambil beberapa langkah mempertingkatkan kawalan keselamatan keluar masuk ke istana.
Antara langkah itu termasuk menghidupkan penghadang kenderaan menggunakan Sistem Bollard sepanjang masa, selain pemeriksaan terhadap semua kakitangan dan tetamu yang masuk serta memperketatkan penggunaan pas di pintu masuk.





