KOTA BELUD, SABAH – Dua lelaki yang leka mencari tumbuhan herba di Kampung Gaur sini cedera selepas ditembak rakan sendiri yang menyangka mereka sebagai rusa pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata pihaknya menerima laporan insiden itu pada jam 3.08 pagi daripada Unit Kecemasan Hospital Kota Belud yang memaklumkan terdapat dua lelaki yang menjalani rawatan akibat terkena tembakan peluru.
“Akibat tembakan itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan di bahagian perut, paha serta kaki.
“Susulan itu, sepasukan polis menahan seorang lelaki berusia 45 tahun dan merampas selaras ‘bakakuk’ (senapang patah buatan sendiri) beserta satu kelongsong peluru bagi membantu siasatan.
“Siasatan lanjut akan diteruskan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dibaca bersama Seksyen 37 akta sama,” katanya dalam satu kenyataan.
Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman tujuh tahun penjara atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Shahrudin berkata pihak polis menasihatkan orang awam agar tidak menyimpan atau memiliki senjata api tanpa lesen yang sah.
“Ia juga bertujuan mengelakkan kejadian seumpama berulang sehingga mengancam keselamatan penduduk sekitar,” tegasnya.





