QATAR: Seramai 12 orang dilaporkan cedera ketika penerbangan Qatar Airways dari Doha ke Dublin mengalami gelora udara pada Ahad.
Memetik laporan The Independent, lapangan terbang Dublin memaklumkan bahawa enam penumpang dan enam anak kapal dalam penerbangan tersebut alami kecederaan.
Bagaimanapun, penerbangan QR017 itu mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Dublin seperti yang dijadualkan, sebelum jam 1 petang.
“Sejurus mendarat, ia disambut oleh perkhidmatan kecemasan termasuk Polis Lapangan Terbang serta Jabatan Bomba dan Penyelamat kerana enam penumpang dan enam kru dilaporkan cedera selepas pesawat mengalami gelora udara semasa terbang di ruang udara Turki,” jelas kenyataan Lapangan Terbang Dublin di akaun rasmi X.
Tambah kenyataan itu lagi, penerbangan pergi balik ke Doha (penerbangan QR018) dijadualkan beroperasi seperti biasa petang Ahad, walaupun mengalami sedikit kelewatan.
Selain itu, operasi penerbangan di Lapangan Terbang Dublin juga dilaporkan tidak terjejas dan diteruskan seperti biasa.






