TOKYO: Seorang penganggur berusia 25 tahun ditahan kerana didakwa mencipta virus komputer dengan menggunakan kecerdasan buatan (AI) generatif interkatif yang boleh di dapati menerusi talian.
Dipercayai itu merupakan kes pertama di Jepun berkaitan virus menggunakan sistem AI generatif.
Jabatan Polis Metropolitan (MPD) menahan Ryuki Hayashi, yang berasal dari Kawasaki, pada 27 Mei kerana disyaki membuat rekod elektrik atau magnet yang mengandungi arahan yang tidak dibenarkan.
Menurut siasatan, dia dipercayai menggunakan komputer rumah dan telefon pintarnya untuk menggabungkan maklumat mengenai program perisian hasad yang diperoleh selepas memberi arahan kepada beberapa sistem AI generatif pada Mac 2023.
Virus yang dibuat itu direka untuk melakukan perkara seperti menyulitkan data pasa sistem yang disasarkan dan menuntut mata wang kripto sebagai tebusan.
Bagaimanapun, tiada laporan kerosakan yang disebabkan oleh virus komputer itu, kata polis.
Menurut polis, Hayashi mengakui pertuduhan semasa disoal siasat, berkata, dia mahu menjana wang melalui perisian tebusan.
“Saya fikir saya boleh melakukan apa sahaja jika saya bertanya kepada AI,” kata Hayashi kepada polis.
Platform seperti ChatGPT sudah meningkatkan langkah untuk mencegah keluaran yang berkaitan dengan aktiviti jenayah.
Namun, menurut sumber, beberapa sistem AI interaktif di internet menyediakan maklumat tanpa had yang boleh digunakan untuk tujuan jenayah.
Hayashi didakwa memberi arahan kepada sistem AI sambil menyembunyikan tujuannya mencipta virus untuk mendapatkan maklumat reka bentuk yang diperlukan untuk menyulitkan fail dan menuntut wang tebusan.






