
KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersedia mengeluarkan pasport dengan tempoh sah laku 10 tahun berbanding lima tahun yang dilaksanakan kini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pelaksanaan tempoh sah laku yang lebih lama tersebut akan memberi kesan positif kepada pengurusan kesesakan pejabat pasport di seluruh negara.
“Tempoh sah laku 10 tahun telah lama dipraktikkan oleh negara ASEAN seperti Thailand, Indonesia, Filipina dan Singapura serta negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Itali dan Perancis, ” katanya semasa Sidang Media Perasmian Pejabat Pasport Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), pada Jumaat.
Saifudin turut menjelaskan pasport Malaysia kini menduduki tempat ke-12 paling berkuasa di dunia menerusi Ranking Global Pasport Power Rank 2024 yang dikeluarkan oleh passportindex.org.
“Ini bermaksud pemegang pasport Malaysia boleh melakukan perjalanan tanpa visa ke 183 negara dan merupakan yang kelima terkuat di Asia selepas UAE, Singapura, Korea Selatan dan Jepun.
“Skor mobiliti pasport dinilai berdasarkan jumlah negara yang membenarkan perjalanan tanpa visa, visa ketibaan serta keperluan untuk memohon visa terlebih dahulu,” jelasnya.
Beliau turut menjelaskan Pejabat Pasport LTAKK merupakan Pejabat Pengeluar Pasport yang ketujuh di Sabah akan memberi manfaat kepada komuniti berdekatan meliputi daerah Papar, Putatan, Penampang dan Kota Kinabalu.
“Buat masa ini Pejabat Pasport LTAKK hanya menerima permohonan pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) baharu dan lanjutan secara walk-in sahaja.
“Manakala perkhidmatan Permohonan Dalam Talian (MyOnline Passport), Pasport Terhad Brunei (PTB), Dokumen Perjalanan Terhad (DPT) dan Surat Akuan Pengenalan (SAP) akan diperluaskan pada masa akan datang,” ujarnya lagi.
Pejabat Pasport LTAKK merupakan Pejabat Pengeluar Pasport Ke-72 di Malaysia beroperasi Isnin sehingga Jumaat bermula lapan pagi sehingga lima petang. — JABATAN PENERANGAN SABAH





