
SANDAKAN, SABAH – Polis daerah ini menahan seorang lelaki dari Semenanjung Malaysia yang mendalangi operasi memproses dan mengedar ketum pada Jumaat.
Timbalan Ketua Polis Sandakan, Superintendent K. Ramasamy, berkata suspek berusia 42 tahun itu ditangkap ketika sedang membancuh air ketum di rumahnya di Taman Tai Fai Yen, sini.
Katanya, selain air ketum, polis turut merampas serbuk, peralatan pemprosesan dan penyimpanannya serta cecair rokok elektronik yang disyaki mengandungi dadah kesemuanya bernilai RM25,230.
“Suspek merupakan lelaki tempatan kelahiran Pantai Timur Semenanjung Malaysia yang tidak mempunyai kerja tetap dan tinggal bersama isteri serta lima anaknya di rumah itu.
“Saringan ujian air kencing untuk dadah ke atas suspek didapati negatif. Suspek mempunyai lima rekod lampau kes di bawah Akta Dadah Berbahaya dan Akta Racun 1952,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Siasatan awal polis mendapati suspek telah memproses ketum sejak dua tahun lalu dan pernah ditahan beberapa kali atas kesalahan sama.
“Modus operandi suspek ini adalah menjalankan aktiviti memproses dan menjual air kratom kepada pelanggan tetap dengan menyamar sebagai penghantar makanan bagi mengelak dikesan polis.
“Polis juga dalam proses mengesan pembekal yang terlibat dalam pengedaran serbuk kratom dan cecair rokok elektronik,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.





