
KOTA KINABALU, SABAH – Teknologi kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) perlu digunakan secara beretika seiring nilai kemasyarakatan dan keadilan sosial.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Arif berkata Sabah tidak boleh ketinggalan dalam gelombang transformasi AI yang diaplikasikan dalam pelbagai bidang di seluruh dunia kini.
“Melalui penggunaan AI, kita boleh meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos, dan mewujudkan peluang pekerjaan baru yang lebih berkualiti.
“Namun, AI juga menuntut penglibatan masyarakat dalam memahami teknologi ini serta implikasi moral dan etika yang datang bersamanya.
“Teknologi seperti AI hanya akan bermanfaat jika digunakan untuk kebaikan manusia sejagat, di sinilah letaknya nilai tanggungjawab kita yang sangat besar sebagai pembuat dasar, pendidik, dan belia untuk memastikan teknologi tidak menjejaskan nilai-nilai kemanusiaan, tetapi sebaliknya memperkukuhkannya,” ujarnya.
Beliau ditemui media dalam Seminar Membangun Sabah Dalam Perspektif Malaysia Madani, di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah, pada Khamis.
Tambah Arifin, peranan pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat sangat penting untuk memastikan rakyat Sabah tidak hanya menjadi pengguna teknologi, tetapi juga pencipta dan penyumbang kepada inovasi.
“Bagi memastikan Sabah terus maju ke hadapan, kita harus menumpukan kepada pengukuhan pendidikan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM).
“Pendidikan STEM bukan sahaja menyediakan kemahiran teknikal yang diperlukan untuk era digital, tetapi juga memperkasa generasi muda untuk menjadi pemikir yang kritis, inovatif, dan berdaya saing di peringkat global,” ujarnya.
Seminar tersebut disertai 400 peserta dan melibatkan dua sesi perbincangan iaitu Masa Depan Pendidikan Sabah:Harapan dan Cabaran serta Transformasi Digital Sabah:Cabaran Teknologi Pencerdasan Buatan. — JABATAN PENERANGAN SABAH





