WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berkemungkinan menerima sebuah pesawat mewah Boeing 747-8 daripada keluarga diraja Qatar semasa lawatannya ke Timur Tengah, dan mungkin menggunakannya sebagai pesawat rasmi presiden (Air Force One) buat sementara waktu.
Hadiah yang belum pernah berlaku dalam sejarah itu kini sedang disemak oleh pasukan undang-undang kedua-dua negara, memetik Associated Press.
Trump mempertahankan langkah itu sebagai langkah bijak dari segi kewangan, menyifatkannya sebagai “hadiah percuma” bagi menggantikan pesawat presiden yang telah uzur.
Bagaimanapun, pengkritik memberi amaran bahawa penerimaan pesawat itu berkemungkinan melanggar Klausa Emolumen Perlembagaan AS, yang melarang pegawai kerajaan menerima hadiah daripada kerajaan asing tanpa kelulusan Kongres.
Kerajaan Qatar mengesahkan tawaran itu sedang dipertimbangkan tetapi belum dimuktamadkan.
Dalam masa yang sama, pakar etika dan ahli politik AS menyuarakan kebimbangan terhadap isu keselamatan dan potensi pengaruh asing.
Pesawat yang ditawarkan dikatakan tidak mempunyai sistem pertahanan dan komunikasi canggih seperti yang terdapat dalam Air Force One sedia ada.
Menambah kepada kebimbangan, Trump Organization baru-baru ini menandatangani perjanjian membangunkan resort mewah di Qatar sekali gus mencetuskan persoalan mengenai pertembungan antara kepentingan peribadi dan dasar luar negara.
Namun begitu, pihak White House menolak kritikan tersebut dan menyifatkan dakwaan mengenai kepentingan peribadi sebagai “tidak masuk akal”.






