SAJAT DINASIHATKAN SERAH DIRI – DR ZULKIFLI

SAJAT DINASIHATKAN SERAH DIRI – DR ZULKIFLI

0
SHARE
Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri...

LABUAN – Usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamarzzaman atau dikenali ramai dengan nama Nur Sajat dinasihatkan supaya menyerah diri kepada pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), selepas waran tangkap dikeluarkan terhadapnya bulan lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata isu itu sebenarnya boleh diselesaikan secara baik.

“Saya ingin menasihatkan saudara Sajat supaya berjumpa pegawai JAIS dan selesaikan isu ini secara baik, supaya keadaan tidak menjadi lebih tegang, dan saya sudah berbincang dengan pegawai-pegawai JAIS mengenai isu ini. Apa yang saya lihat tindakan oleh JAIS adalah sesuai dengan keadaan,” katanya selepas menyampaikan ucapan kepada kira-kira 150 petugas badan keagamaan kerajaan di dewan Kompleks Darul Kifayah hari ini.

Usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamarzzaman atau dikenali ramai dengan nama Nur Sajat…

Memetik laporan Bernama, Dr Zulkifli berkata bahawa Sajat juga tidak seharusnya mengungkapkan kata-kata seolah-olah berhasrat untuk keluar dari agama Islam.

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menggerakkan satu jawatankuasa hal ehwal agama atau Jawatankuasa Pemandu bagi menangani isu atau aktiviti yang berkaitan dengan penyelewengan ajaran Islam,” katanya.

Januari lalu, Nur Sajat tidak mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan menyebabkan agama Islam dipandang hina dengan cara dirinya seorang lelaki yang berpakaian menyerupai wanita selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Syarie Mohamad Khalid Shaee @ Shaii.

Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam kemudiannya mengeluarkan waran tangkap terhadap usahawan kosmetik berumur 36 tahun itu selepas dia tidak hadir semasa sebutan semula kes berkenan, bulan lalu.

Sementara itu, Dr Zulkifli berkata tahun lalu Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mengumpul zakat berjumlah RM758 juta, berbanding RM688 juta pada tahun sebelumnya.

Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (tiga, kanan) menyerahkan replika cek bantuan bernilai RM20,000 kepada wakil Kakitangan Agensi Agama Wilayah Persekutuan Labuan, Sadakhatullah Abas (dua, kiri) di Labuan hari ini…(Sumber Foto BERNAMA)

“Kutipan zakat meningkat 11 peratus dan ini akan membantu MAIWP mempelbagai skim bantuannya kepada kumpulan asnaf,” katanya sambil menambah jumlah kutipan itu meningkat disebabkan pertumbuhan ekonomi negara yang baik.

Antara skim bantuan yang ditawarkan MAIWP adalah sumbangan bulanan, bantuan sewa rumah, bantuan Al-Gharimin, bantuan Ibnu Sabil, bantuan perubatan, bantuan peralatan sekolah, di samping skim bantuan perkahwinan, persediaan untuk pendidikan ke peringkat tingi, bantuan kepada agensi kebajikan serta aktiviti perniagaan dan pertanian.

Tahun ini Baitulmal-MAIWP Labuan memperuntukkan RM20 juta khusus untuk memberi pelbagai bentuk bantuan kepada asnaf di pulau ini yang terjejas pendapatan mereka susulan meletusnya pandemik COVID-19.