Sabah Kini Berada Dalam Landasan Trend Pelandaian Kes COVID-19 – Masidi

Sabah Kini Berada Dalam Landasan Trend Pelandaian Kes COVID-19 – Masidi

0
SHARE
Datuk Seri Panglima Masidi Manjun...

KOTA KINABALU, SABAH – Negeri Sabah kini berada dalam landasan untuk trend pelandaian kes COVID-19 apabila analisis data menunjukkan penurunan kes baharu yang berterusan menurun telah direkodkan sejak minggu lepas, demikian menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Masidi yang juga Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 Negeri Sabah berkata, penurunan kes terus berlaku pada hari ini dengan 677 kes, iaitu jumlah kes baharu terendah direkodkan sejak 24 Julai lepas.

“Penurunan secara keseluruhan dicatatkan hari ini menunjukkan prestasi yang baik. Sebanyak 21 daerah mencatatkan penurunan kes dan hanya lima daerah mencatatkan peningkatan kes, manakala satu daerah iaitu Kudat kekal dengan catatan kes seperti direkodkan semalam (33 kes)…

“Hanya tiga daerah mencatatkan kes di atas paras 50 kes iaitu Kinabatangan (107 kes); Kota Kinabalu (94 kes) dan Keningau (78 kes),” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Infografik perkembangan terkini COVID-19 di Sabah setakat 04 Oktober 2021…(Sumber Foto: Command Centre Sabah)

Bagaimanapun, Masidi menasihati kepada rakyat Sabah agar terus berdisiplin kerana sikap dan disiplin yang menentukan kenaikan atau penurunan graf jangkitan kes baharu di negeri ini.

Tambah beliau, pematuhan secara menyeluruh terhadap semua prosedur operasi standard (SOP) dan amalan baik penjagaan kesihatan diri merupakan antara kunci utama bagi mengelak jangkitan virus COVID-19.

Sementara itu, Masidi berkata Sabah merekodkan DUA (2) kluster baharu di Kinabatangan kelmarin (4 Okt) yang mana melibatkan penularan jangkitan di tempat kerja iaitu Kluster Sungai Tabulion dan Kluster Sandau Sawit, sekali gus menjadi punca peningkatan drastik jumlah kes baharu di daerah tersebut.

“Dua kluster ini menyumbang 82.2 peratus (82.2%) daripada kes yang direkodkan di Kinabatangan,” katanya.