ZAHID CADANG BUBAR DUN MELAKA

ZAHID CADANG BUBAR DUN MELAKA

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Jelas beliau, ia bagi membolehkan mandat diberikan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang selayaknya menerajui negeri itu.

Perkara berkenaan berlaku susulan daripada tindakan EMPAT (4) orang ADUN termasuk bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang) bersama dengan Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas – Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, berkuat-kuasa hari ini.

Dari kiri; Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu)…

Dalam pada itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu turut mengharapkan krisis politik yang melanda negeri Melaka ketika ini tidak menular dalam kalangan Ahli Parlimen lainnya.

“Saya tidak mengapa kehilangan kerajaan negeri yang dikuasai parti saya tapi tunggulah. Saya fikir elok kalau diadakan PRN negeri yang baharu supaya DUN dibubar dan kita beri mandat semula kepada rakyat untuk memilih mana kerajaan yang terbaik untuk mentadbir negeri dan negara kita, Insya Allah,” katanya.

Terdahulu, surat pemakluman peletakan jawatan Idris beserta Datuk Noor Effandi Ahmad dan Datuk Norhizam Hassan Baktee sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang bertarikh 30 September lalu diserahkan kepada Sulaiman di Pejabat Ketua Menteri Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh pagi Isnin.

Pada sidang media khas hari ini, Idris yang juga ADUN Sungai Udang mendakwa penarikan sokongan itu berikutan ketidakyakinan mereka terhadap beberapa keputusan kerajaan negeri yang ‘flip-flop’ serta tidak dilaksanakan dengan sempurna.

Sidang media khas pengumuman empat ADUN kerajaan Melaka menarik balik sokongan terhadap kerajaan pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali hari ini (4 Okt)…

Untuk rekod, Kerajaan Melaka yang diterajui BN dibentuk pada Mac tahun lalu selepas PH tumbang berikutan empat ADUN ketika itu memberikan sokongan kepada gabungan PN.

Kerajaan Melaka ketika ini diwakili 17 ADUN, dengan 14 daripadanya diwakili UMNO, diikuti dua daripada BERSATU dan satu Bebas, manakala pembangkang pula 11 kerusi.