Dua Lelaki Miliki Rekod Jenayah Dadah, Ditahan Terlibat Kes Pecah Rumah di...

Dua Lelaki Miliki Rekod Jenayah Dadah, Ditahan Terlibat Kes Pecah Rumah di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Polis berjaya memberkas dua suspek lelaki disyaki terlibat dalam kes pecah rumah yang berlaku di Taman Berkeley, Jalan Apas, Tawau 12 April lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, mangsa berusia 40-an menyedari kediamannya telah diceroboh sekitar jam 6.30 pagi pada hari kejadian.

“Antara barangan yang dilaporkan hilang termasuk televisyen, raket badminton, jam tangan pintar, MyKad milik individu lain, wang tunai, dan telefon bimbit dengan anggran kerugian berjumlah hampir RM4,500,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Katanya, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), IPD Tawau menahan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun kira-kira jam 5.00 petang, 19 Mei lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kerana disyaki terlibat secara langsung dalam kejadian tersebut.

“Hasil soal siasat terhadap suspek, polis berjaya menemui dua batang raket badminton dipercayai milik mangsa yang disembunyikan di sebuah bilik sewa di sekitar bandar Tawau” katanya.

Menurut beliau, tangkapan kedua dibuat semalam kira-kira jam 11.30 pagi melibatkan seorang lagi lelaki tempatan berusia 34 tahun di hadapan sebuah bengkel di sekitar kawasan Jalan Ranggu, Tawau.

“Susulan penahanan suspek kedua, pihak polis berjaya merampas sebuah televisyen dan seutas jam tangan jenama Apple I-Watch yang juga dipercayai hasil kegiatan pecah rumah,” jelasnya.

Sementara itu, hasil semakan rekod jenayah lampau mendapati kedua-dua suspek tersebut mempunyai sejarah kesalahan jenayah termasuk berkaitan kes penipuan dan dadah.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan saki-baki barangan curi serta kemungkinan penglibatan suspek lain masih diteruskan.

Tambahnya, komitmen berterusan Polis Daerah Tawau dalam membanteras kegiatan jenayah akan terus diperkukuh demi memastikan keselamatan komuniti setempat terjamin.