KOTA KINABALU: Bilik Gerakan Utama PKR (BGU) N20 Api-Api di Asia City hari ini menerima kehadiran ramai individu yang datang untuk meminta angpow, bantuan tunai, beras dan bakul makanan, dengan sebahagian daripada mereka mendakwa dimaklumkan bahawa bantuan tersebut boleh diambil di lokasi berkenaan.
Jawatankuasa Pilihan Raya Pakatan Harapan PKR N20 Api-Api menegaskan bahawa kempen mereka tidak mengagihkan wang, hadiah, makanan atau sebarang bentuk bantuan material.
Setiausaha Jawatankuasa, Lucas Yong, berkata pemberian barangan atau wang sepanjang tempoh kempen adalah dilarang oleh undang-undang pilihan raya dan pihaknya komited untuk menjalankan kempen yang bersih dan berintegriti.
Beliau menyatakan kebimbangan bahawa dakwaan mengenai agihan bantuan mungkin berpunca daripada maklumat tidak tepat atau usaha sabotaj politik yang bertujuan mengelirukan pengundi serta menimbulkan kekecewaan dalam kalangan masyarakat.
“Orang ramai dinasihati supaya tidak terpengaruh dengan khabar angin dan hanya merujuk maklumat melalui saluran rasmi.
“BGU di Asia City dibuka khusus bagi membantu pengundi membuat semakan status, mendapatkan maklumat mengenai lokasi mengundi serta memperoleh maklumat berkaitan calon dan perjalanan kempen,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai atas kerjasama mereka dan menegaskan perlunya semua pihak memastikan proses pilihan raya di N20 Api-Api berjalan dengan telus, bersih dan teratur.






