Maritim Malaysia Gagalkan Cubaan Seludup Minyak Petrol Bernilai RM 20 Ribu di...

Maritim Malaysia Gagalkan Cubaan Seludup Minyak Petrol Bernilai RM 20 Ribu di Semporna

0
SHARE

SEMPORNA: Tindakan pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Semporna berjaya menumpaskan cubaan menyeludup minyak petrol apabila dua bot enjin sangkut tanpa nombor pendaftaran dirampas dalam operasi yang dijalankan, semalam.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, rampasan dilakukan oleh sekitar pukul 5.45 petang dan 5.50 petang.

Menurutnya, kedua-dua bot berwarna kelabu biru dan kelabu itu ditemui kira-kira 0.1 batu nautika utara Tanjung Pantau-Pantau, Semporna dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati, kedua-dua bot ditinggalkan tanpa kru, dipercayai pemilik bot melarikan diri daripada ditahan pihak penguat kuasa.

“Kedua-dua bot bersama dua enjin sangkut Yamaha 40hp dan 37 jerrycan petrol yang disyaki merupakan barang kawalan yang cuba diseludup keluar dari negara ini telah dirampas,” jelas beliau.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 atas kesalahan memiliki barang kawalan tanpa kebenaran.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 20 ribu.

Bot dan semua barang yang dirampas dibawa ke Jeti Zon Maritim Semporna untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut oleh pegawai penyiasat Maritim Malaysia.

Maritim Malaysia menegaskan komitmen untuk terus memperketat kawalan serta mempertingkat operasi bagi membanteras jenayah maritim termasuk aktiviti penyeludupan di perairan Semporna.