PUTATAN: STAR Sabah P173 Putatan menjangkakan sekurang-kurangnya 1,200 peserta menyertai larian Justice 4 Sabah: 40 Percent Fun Run yang akan berlangsung pada Ahad ini, menjadikannya antara himpunan akar umbi terbesar di daerah tersebut.
Program itu dianjur bagi mengetengahkan hak Sabah terhadap tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan, satu isu yang mahu dibawa lebih dekat kepada rakyat biasa dan bukan semata-mata perbincangan dasar.
Calon STARSABAH bagi N23 Petagas, Annita Shiela F. Among, berkata sambutan luar biasa sejak borang pendaftaran dibuka menunjukkan kesedaran yang semakin mendalam dalam kalangan rakyat.
“Orang ramai sedar kedudukan kewangan negeri dan kenapa kelewatan menunaikan apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan tidak lagi boleh diterima,” katanya.
Shiela yang juga Ketua Bahagian STARSABAH Petagas berkata jumlah pendaftaran dalam beberapa hari menunjukkan rakyat memahami isu itu.
“Mereka tahu apa yang dijanjikan Perlembagaan dan mahu ia ditunaikan tanpa berlengah. Larian ini cara mudah untuk mereka berdiri bersama,” katanya.
Acara tersebut akan berlangsung di Ibu Pejabat STAR Sabah di Putatan, berhampiran Secret Recipe.
Pelepasan peserta dijadualkan pada jam 4.30 petang. Penyertaan adalah percuma dan setiap peserta berdaftar akan menerima jersi acara.
Pendaftaran boleh dibuat melalui kod QR yang disertakan dalam poster atau pautan borang dalam talian. Tarikh tutup pendaftaran ialah 22 November.
Pertanyaan boleh dibuat melalui 016-2156872 (WhatsApp) atau 014-2001236 (Syl).






