KOTA KINABALU: Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) komited untuk memperkasa wanita negeri ini menerusi strategi menyeluruh yang merangkumi bidang pendidikan, keusahawanan dan kepimpinan politik, kata Pengerusinya, Datuk Dr. Rosmawati Lasuki J.P.
Bercakap dalam Majlis Hi Tea anjuran Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) dan MPWS bersama pihak media di Sabah International Convention Centre (SICC), beliau menekankan pentingnya perancangan jangka panjang bagi memastikan wanita bersedia memegang jawatan penting dalam sektor awam dan swasta.
“Kami memberi penekanan terhadap perancangan penggantian atau ‘succession planning’ dalam sektor pendidikan dan kepimpinan. Kita mahu wanita diberi peluang bukan hanya kerana kuota, tetapi berdasarkan merit dan kelayakan mereka,” katanya.
Menurut beliau, MPWS telah mengenal pasti calon-calon wanita berkelayakan untuk diketengahkan bagi jawatan-jawatan penting termasuk dalam agensi seperti Sabah Technopreneur Talent (STT) dan pelbagai jabatan kerajaan.
Dalam aspek keusahawanan, Rosmawati yang juga wakil Yayasan Sabah, menjelaskan bahawa matlamat akhir adalah untuk membawa usahawan wanita Sabah ke pasaran global.
“Pasaran tempatan di Sabah adalah kecil, hanya sekitar 4 juta orang. Kita perlu sasar pasaran serantau seperti Filipina, Indonesia dan Brunei yang memiliki lebih 89 juta pengguna. Ini memerlukan kerjasama strategik dan sokongan menyeluruh,” tambahnya.
Dalam politik pula, MPWS berusaha untuk melahirkan lebih ramai pemimpin wanita yang bersedia bukan sahaja dalam arena politik tetapi juga dalam GLC dan sektor korporat.
“Paling penting, kita ada senarai nama wanita berkelayakan yang boleh diketengahkan sebagai calon pilihan raya. Kita mahu mereka bukan sekadar bertanding, tetapi menang dan mampu menyandang jawatan sebagai menteri,” jelasnya lagi.
Rosmawati turut menekankan bahawa setiap inisiatif perlu disokong dengan pelan tindakan yang jelas, garis panduan terperinci serta sistem pangkalan data untuk mengenal pasti bakat wanita di Sabah.
Sebagai langkah seterusnya, MPWS merancang untuk mengadakan sesi makmal (lab) khusus bagi membincangkan cabaran dan keperluan dalam tiga teras utama iaitu pendidikan, keusahawanan dan kepimpinan. Hasil dari sesi ini dijangka dibentangkan dalam satu simposium khas yang akan merumuskan syor kepada kerajaan negeri.
“Kita perlu fokus kepada hasil yang nyata. Ini bukan sekadar program, tetapi usaha tersusun untuk melahirkan pemimpin wanita berkaliber di semua peringkat,” tegasnya.
Majlis Hi Tea tersebut turut dihadiri wakil-wakil media, agensi kerajaan serta pemimpin wanita dari pelbagai latar belakang, sebagai platform memperkukuh kerjasama strategik dalam memajukan agenda pemerkasaan wanita di Sabah.






