ECoS Perkukuh Usaha Meningkatkan Kapasiti Penjanaan Tenaga

ECoS Perkukuh Usaha Meningkatkan Kapasiti Penjanaan Tenaga

0
SHARE

KOTA KINABALU: Energy Commission of Sabah (ECoS) telah melaksanakan pemantauan dan penilaian secara menyeluruh terhadap projek-projek tenaga utama di Sabah.

Inisiatif ini adalah selaras dengan usaha memperkukuh sistem bekalan tenaga elektrik di negeri Sabah.

Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid bersama rombongan ECoS dan Sabah Electricity telah membuat lawatan ke beberapa stesen janakuasa sediada dan tapak projek-projek pembangunan tenaga di Pantai Barat Sabah.

“Antara lokasi yang dilawati ialah Loji Janakuasa SPR Energy, Loji Janakuasa Kimanis Power, Sabah Oil & Gas Terminal (SOGT), Stesen Hidro Tenom Pangi, serta dua tapak projek baru di Kimanis.

“Lawatan ini bertujuan menilai tahap kemajuan projek, memastikan pematuhan kepada piawaian keselamatan dan teknikal, serta menilai kecekapan operasi loji-loji janakuasa sediada yang berperanan penting dalam kestabilan bekalan tenaga elektrik di Sabah.

“Pemantauan rapi ini amat penting bagi memastikan semua projek berjalan mengikut jadual dan dapat meningkatkan kapasiti penjanaan.

“Kedua-dua projek baru ini akan menyumbang 200MW tenaga dalam rangkaian grid setelah siap,” kata Nasser.

Beliau turut menegaskan bahawa usaha-usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen Kerajaan Negeri Sabah untuk menangani isu bekalan elektrik dan memperkukuh sektor tenaga negeri secara holistik, selaras dengan matlamat yang digariskan dalam Pelan Induk dan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040).

“ECoS komited untuk memastikan setiap projek tenaga di Sabah dibangunkan dan diuruskan secara cekap, selamat, dan mampan.

Kerjasama erat antara agensi-agensi kerajaan dan syarikat-syarikat GLC serta pemain industri adalah kunci kepada kejayaan pelaksanaan projek-projek ini,” tambah beliau.