Selepas Rafizi, Nik Nazmi Letak Jawatan Menteri Secara Mengejut

Selepas Rafizi, Nik Nazmi Letak Jawatan Menteri Secara Mengejut

0
SHARE

KOTA KINABALU: Selepas peletakan jawatan mengejut oleh Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli, seorang lagi tokoh kanan Kerajaan Perpaduan, Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini mengumumkan pengunduran dirinya sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Dalam satu kenyataan media, Nik Nazmi memaklumkan bahawa surat peletakan jawatannya telah dihantar kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dan akan berkuat kuasa pada 4 Julai 2025. Beliau akan mula bercuti mulai esok sehingga tarikh tersebut.

“Saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri memandangkan saya tidak berjaya mempertahankan jawatan Naib Presiden KEADILAN dalam pemilihan parti baru-baru ini,” katanya.

Beliau yang pernah menerajui dua kementerian berkaitan alam sekitar sejak Disember 2022 berkata sepanjang perkhidmatannya, pelbagai reformasi telah dilaksanakan termasuk pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, penyasaran subsidi elektrik melalui ICPT, serta usaha menggubal Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) yang kini hampir dimuktamadkan.

Nik Nazmi turut menzahirkan penghargaan kepada semua penjawat awam, rakan sekerja dan pelbagai pihak yang telah menjayakan reformasi sepanjang tempoh perkhidmatannya.

“Saya kini menantikan peluang untuk kembali menumpukan khidmat sebagai Ahli Parlimen Setiawangsa,” katanya.

Peletakan jawatan ini menjadikan beliau menteri kedua yang melepaskan jawatan dalam tempoh beberapa minggu, selepas Rafizi Ramli yang mengumumkan pengunduran sebagai Menteri Ekonomi hari ini.

Situasi ini dijangka memberi kesan kepada kestabilan politik semasa serta menimbulkan spekulasi lanjut mengenai rombakan Kabinet yang mungkin berlaku dalam masa terdekat.