KOTA KINABALU: Pelaksanaan Mesyuarat Khas Intervensi oleh Jawatankuasa Intervensi Penyelarasan Pemantauan Projek Pembangunan Persekutuan Negeri Sabah telah menunjukkan hasil positif apabila jumlah projek dalam status pra pelaksanaan berjaya dikurangkan secara signifikan.
Pengerusi Bersama Jawatankuasa tersebut, Datuk Ewon Benedick berkata, jumlah projek tertangguh kini menurun daripada 207 kepada 137 projek sejak intervensi khas itu dimulakan awal tahun ini.
“Ini satu perkembangan yang sangat positif hasil kerjasama erat antara agensi pelaksana, kementerian, dan Kerajaan Negeri Sabah,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan dan Dewan Terbuka Kampung Podos, di sini pada Selasa.
Ewon berkata, beliau dan Pengerusi Bersama, iaitu Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir. Shahelmey Yahya, menjelaskan bahawa inisiatif itu diwujudkan bagi memastikan semua projek pembangunan persekutuan di Sabah dapat dimulakan dan dilaksanakan mengikut jadual.
“Saya dan Shahelmey bertanggungjawab memantau serta mencadangkan penyelesaian terhadap isu-isu yang menyebabkan kelewatan projek. Setelah projek diserahkan kepada agensi pelaksana, pemantauan diteruskan melalui platform seperti Mesyuarat Tindakan Pembangunan,” jelasnya.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, turut memuji keberkesanan pendekatan libat urus langsung yang digunakan dalam mesyuarat intervensi tersebut, yang menurutnya berjaya menyelesaikan banyak isu teknikal dan pentadbiran secara pantas.
“Kita juga telah mencadangkan langkah-langkah tertentu kepada jabatan teknikal dan kementerian berkaitan agar isu berbangkit dapat diselesaikan tanpa menunggu terlalu lama,” katanya.
Ewon turut menyatakan penghargaan kepada semua pihak terlibat yang berjaya mempercepatkan proses perolehan, pelantikan kontraktor dan tender, terutama bagi projek-projek yang sebelum ini tertangguh.
“Saya amat berpuas hati dengan komitmen dan kerjasama semua pihak dalam jawatankuasa ini. Saya berharap jumlah projek yang telah bermula akan terus meningkat dalam mesyuarat akan datang,” katanya.






