KOTA KINABALU: Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Chan Loong Wei, hari ini mengecam tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong dari Warisan, yang didakwa terus mempolitikkan isu pelaburan strategik di Sabah termasuk projek Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd bernilai RM31 bilion.
Menurut Chan, pelaburan tersebut merupakan yang terbesar dalam sejarah Sabah dan antara yang terbesar di Malaysia, serta dijangka merubah landskap industri negeri dan membuka ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
“Daripada menyambut pelaburan bersejarah ini, Calvin Chong memilih untuk memutar belit fakta dan mengelirukan rakyat sebagaimana yang pernah dilakukan terhadap pelaburan Kumpulan Kibing dan Loji Pemasangan EV di Sandakan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Chan turut mempersoalkan sama ada Warisan menentang pembangunan dan perindustrian Sabah, apabila sering tampil dengan kenyataan populis tanpa menawarkan sebarang penyelesaian.
“Setiap kali kerajaan berusaha membawa masuk pelabur berkredibiliti beliau muncul dengan sentimen tidak bertanggungjawab yang hanya merosakkan reputasi Sabah di mata pelabur,” tegas Chan.
Beliau juga mencabar Calvin untuk membawa isu tersebut ke Sidang Dewan Undangan Negeri yang akan datang, jika benar beliau mahu mencari ketelusan.
“Dalam isu Loji EV Sandakan dahulu, beliau lantang di media sosial dan akhbar, tetapi membisu di Dewan Undangan Negeri. Kenapa? Kerana beliau tahu projek itu sebenarnya memberi manfaat kepada rakyat dan hanya bermain persepsi di luar,” katanya.
Menurut Chan lagi, Esteel Enterprise dimiliki oleh tokoh perniagaan China yang mempunyai latar belakang kukuh, termasuk disenaraikan sebagai salah satu daripada 100 Syarikat Swasta Terbaik China pada 2023.
Malah, syarikat itu juga mengambil alih Southern Steel Berhad di Pulau Pinang pada Oktober 2024, seperti dilaporkan oleh media perniagaan termasuk Sin Chew Daily.
“Sebagai wakil rakyat, kegagalan Calvin Chong untuk membuat semakan asas sebelum membuat serangan menunjukkan ketidakmampuan memahami asas pelaburan dan penghinaan terhadap profesionalisme agensi kerajaan yang terlibat dalam proses semakan, termasuk MITI, MIDA, JTU, DoE dan lain-lain,” ujar Chan.
Beliau menyeru rakyat Sandakan dan seluruh Sabah menilai sendiri jenis kepimpinan yang ditawarkan oleh Warisan, dan sama ada politik sebegitu mampu memacu kemajuan negeri.
“Politik bukan pentas lakonan populis. Ia tentang keikhlasan bekerja untuk perubahan progresif. Kementerian di bawah Datuk Phoong Jin Zhe komited untuk memacu pertumbuhan ekonomi inklusif dan menjadikan Sabah destinasi pelaburan yang kompetitif,” jelasnya.
Chan menegaskan, perbuatan Calvin Chong mempolitikkan isu pelaburan tanpa sebarang alternatif munasabah hanya akan menghantar isyarat salah kepada pelabur dan merosakkan keyakinan pelabur sedia ada dan yang berpotensi.
“Jika perkara ini diteruskan, seluruh rakyat Sabah akan menanggung akibatnya. Rakyat Sabah layak menerima kepimpinan yang lebih baik dan bukan sekadar sandiwara politik murahan,” tegas Chan.






