KOTA KINABALU: Seorang lelaki bergelar Datuk yang juga ketua ‘Geng Upik’, Maslan Sani, 42, dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Beliau mengaku bersalah terlibat sebagai ahli kumpulan jenayah terancang antara 2015 hingga 2023.
Turut dijatuhi hukuman ialah Nelson Yen Yee Chung, 47, yang dihukum penjara tiga tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan membantu kumpulan jenayah tersebut.
Kedua-dua mereka membuat pengakuan di hadapan Hakim Datuk Dr Lim Hock Leng.
Maslan ditahan pada 25 Disember 2023 di sebuah pusat hiburan di Penampang.
Siasatan mendapati dia merupakan ketua kumpulan yang terlibat dalam pengedaran dadah bersama ahli lain demi keuntungan peribadi.
Kumpulan tersebut turut dikaitkan dengan beberapa kes jenayah serius termasuk rampasan 53kg syabu di Tawau.
Nelson pula ditahan pada hari yang sama di Inanam. Siasatan mendapati dia membantu kumpulan itu menguruskan perjumpaan dan hal ehwal kewangan.
Kedua-dua mereka memohon hukuman ringan dan menyatakan kekesalan terhadap perbuatan mereka.
Setakat ini, 15 individu telah didakwa berkait ‘Geng Upik’, dengan 10 daripadanya sudah dihukum penjara tiga tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan.
Tiga lagi termasuk Zulkahar Dusing, Rahman Burijin, dan Jaisalfian Jaineh akan dibicarakan dari 15 hingga 18 Julai depan.






