Tiga Warga Asing, Seorang Tempatan Ditahan Cuba Larikan Diri Daripada Pemeriksaan Polis...

Tiga Warga Asing, Seorang Tempatan Ditahan Cuba Larikan Diri Daripada Pemeriksaan Polis di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Cubaan melarikan diri daripada pemeriksaan polis membawa padah apabila empat individu termasuk seorang wanita ditahan selepas bertindak agresif dalam kejadian di kawasan Persisiran Traulsen, di sini, hari ini.

Menurut pihak polis, kejadian berlaku ketika sepasukan anggota dari Balai Polis Tawau sedang menjalankan rondaan bit sebelum mengesan sebuah kenderaan jenis Proton Saga berwarna putih dalam keadaan mencurigakan.

Pemandu kenderaan terbabit, yang menyedari kehadiran pihak berkuasa, bertindak memecut laju dan melanggar sebuah motosikal milik anggota polis yang bertugas. 

Suspek turut merempuh tembok sebuah bangunan kerajaan serta pembahagi jalan dalam usahanya meloloskan diri, namun berjaya ditahan tidak lama kemudian.

Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat empat individu di dalam kenderaan itu, terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 15 hingga 23 tahun.

Tiga daripada mereka merupakan warga asing yang dipercayai tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah.

Kesemua suspek telah dibawa ke Balai Polis Tawau untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam melaksanakan tugas dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

Pihak polis menegaskan bahawa tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang cuba mengganggu tugas penguatkuasaan serta melanggar undang-undang negara.