Lelaki Melecur Tapak Kaki Dalam Kebakaran Dua Rumah di Putatan

Lelaki Melecur Tapak Kaki Dalam Kebakaran Dua Rumah di Putatan

0
SHARE

PUTATAN: Seorang lelaki berusia 66 tahun mengalami kecederaan melecur di bahagian tapak kaki selepas terlibat dalam satu insiden kebakaran yang memusnahkan dua buah rumah di Kampung Dumpil, Putatan malam tadi.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), panggilan kecemasan diterima pada jam 9.29 malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan tiba di lokasi empat minit kemudian.

Operasi turut dibantu oleh BBP Kota Kinabalu dan Penampang dengan kekuatan keseluruhan seramai 21 anggota.

Komander Operasi, Linda Eslao Wagis, memaklumkan kebakaran melibatkan dua rumah jenis tidak kekal – masing-masing berukuran 20×10 kaki dan 40×50 kaki – yang musnah 100 peratus.

Pasukan bomba menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dan dua pancutan air daripada tangki jentera bagi memadam kebakaran. Api berjaya dikawal pada jam 9.52 malam dan operasi sepenuhnya ditamatkan pada jam 12.37 tengah malam.

“Pasukan berjaya menghalang api daripada merebak ke rumah bersebelahan dan menyelamatkan dua buah rumah lain daripada turut musnah,” katanya.

Seorang mangsa cedera dalam kejadian tersebut dan diberi rawatan awal oleh pasukan bomba sebelum diserahkan kepada pasukan ambulans untuk dibawa ke hospital.

Turut berada di lokasi ialah pasukan polis, ambulans serta pihak Sabah Electricity bagi membantu operasi.

Punca kebakaran masih dalam siasatan.