IRAN: Israel melancarkan serangan udara awal pagi Jumaat, menyasarkan lokasi berkaitan program nuklear Iran.
Ketua Pengawal Revolusi Iran (IRGC), Hossein Salami, bersama dua saintis nuklear utama Iran, Fereydoun Abbasi-Davani dan Mohammad Mehdi Tehranchi, dilaporkan terbunuh.
Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, berikrar membalas serangan itu.
Beliau menyifatkannya sebagai jenayah yang membawa nasib buruk kepada Israel.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, mengisytiharkan darurat dan memberi amaran serangan balas dari Iran bakal berlaku.
Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkata operasi akan diteruskan sehingga ancaman “disingkirkan sepenuhnya”.
Lapangan Terbang Ben Gurion di Tel Aviv ditutup. Di Iran, beberapa lokasi strategik seperti Natanz, Khandab dan Khoramabad turut dibedil. Laporan media menyebut ramai terkorban di Tehran.
Harga minyak melonjak 10 peratus, manakala pasaran saham AS jatuh susulan kebimbangan konflik serantau semakin memuncak.
AS tidak terlibat dalam serangan, namun Presiden Trump dimaklumkan awal dan menarik keluar sebahagian kakitangan dari Timur Tengah.
Kedutaan AS di Jerusalem mengarahkan kakitangan berlindung di tempat masing-masing.
Rakaman video yang tular menunjukkan letupan dan bunyi tembakan pertahanan udara di Tehran.






