PRN Sabah: PH Sabah Dijangka Akan Mulakan Rundingan dengan GRS – Mustapha

PRN Sabah: PH Sabah Dijangka Akan Mulakan Rundingan dengan GRS – Mustapha

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah dijangka akan memulakan rundingan rasmi dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam masa terdekat mengenai kerjasama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah.

Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, rundingan bersama GRS adalah sebahagian daripada mandat yang diterima daripada kepimpinan tertinggi parti, termasuk Presiden PKR dan pimpinan PH pusat.

“Kita sedang menjalankan rundingan, sekarang ini di peringkat PH, kita teruskan rundingan dalaman, manakala untuk rundingan dengan Barisan Nasional (BN), ia sudah pun dimulakan.

“Dan selepas ini, kita akan berbincang pula dengan GRS,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Sukan Institusi Pendidikan Tinggi Sabah (SUIPTS) 2025 di Universiti Malaysia Sabah (UMS), hari ini.

Menurut beliau, fokus utama PH Sabah kini adalah memastikan kerjasama politik yang kukuh dapat dibentuk bersama rakan-rakan strategik menjelang PRN, demi memastikan kestabilan dan pembangunan negeri terus terjamin.

Datuk Mustapha turut menegaskan bahawa parti-parti lain di luar PH diminta untuk mengadakan perbincangan sesama sendiri terlebih dahulu sebelum sebarang rundingan lanjut dapat diadakan secara bersama.

“Kita serahkan kepada mereka untuk berbincang dahulu. Buat masa ini, keutamaan kami adalah menjayakan perbincangan bersama BN dan GRS seperti yang telah diminta oleh pimpinan pusat,” katanya.