Program Jejak Pokok Pertama Bersejarah Pertama Malaysia Diadakan di Sandakan

Program Jejak Pokok Pertama Bersejarah Pertama Malaysia Diadakan di Sandakan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sandakan bakal mencipta sejarah apabila menjadi lokasi Jejak Pokok Bersejarah Pertama di Malaysia yang akan dilancarkan pada 28 Jun oleh Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Walter Kenson.

Sistem penandaan pokok telah dibangunkan dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Sabah bagi merealisasikan pencapaian ini yang bakal direkodkan dalam Malaysia Book of Records.

Sebanyak 42 pokok bersejarah di sepanjang Jejak Warisan Sandakan telah dikenal pasti, ditanda dan dilengkapi dengan kod QR untuk membolehkan pengunjung menikmati bukan sahaja lokasi warisan, tetapi juga nilai sejarah pokok-pokok yang terlibat. 

Lebih 200 peserta dari pelbagai latar belakang dijangka menyertai acara yang akan bermula di Masjid Jamik dan berhenti di Rumah Agnes Keith bagi penyampaian rasmi sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records.

Perkara ini diumumkan semasa kunjungan hormat Pengasas dan Pengerusi Jejak Warisan Sandakan, Lai King Hang kepada Ketua Konservator Hutan Sabah, Datuk Frederick Kugan di pejabatnya.

Program dianjurkan oleh Jawatankuasa Jejak Warisan Sandakan dan Persatuan Pelancongan Sandakan (STAN) dengan sokongan penuh Majlis Perbandaran Sandakan serta pelbagai organisasi sukarelawan.

Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah Dr Arthur Chung, Timbalan Ketua Konservator Hutan yang juga ahli pasukan kanan Jejak Warisan Sandakan, pegawai kanan Jabatan Perhutanan Sabah serta wakil daripada STAN dan Sabah Society Sandakan.