KENINGAU: Seorang lelaki berusia 20 tahun maut selepas terkena letupan tayar semasa mengisi angin di sebuah bengkel di Jalan Durok pada petang Khamis.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Garai berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 4 petang daripada seorang majikan yang melaporkan pekerjanya tidak sedarkan diri.
“Mangsa dikenali sebagai Arizal Etin dari Kampung Limbawan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
“Siasatan awal mendapati letupan tayar berlaku semasa proses pengisian angin, menyebabkan hentakan kuat yang mengakibatkan mangsa rebah serta-merta,” katanya.
Siasatan polis mendapati tiada unsur jenayah dikesan dan kecederaan lain turut tidak ditemui, selain kecederaan pada kepala yang dipercayai akibat insiden tersebut.






