Sabah Pamer Peta Laluan Peralihan Tenaga di Energy Asia 2025

Sabah Pamer Peta Laluan Peralihan Tenaga di Energy Asia 2025

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), di bawah portfolio Ketua Menteri, telah membentangkan Peta Laluan Peralihan Tenaga Sabah semasa sidang kemuncak Energy Asia 2025 melalui panel peringkat tinggi bertajuk “Energising Malaysia’s Growth.”

Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid menyatakan komitmen Sabah untuk beralih daripada kebergantungan gas (80 peratus) kepada 80% tenaga boleh diperbaharui (RE) menjelang 2050, selaras dengan pelan induk Sabah Energy Roadmap and Master Plan 2040 (SE-RAMP 2040).

Antara projek utama ialah Battery Energy Storage System (BESS) 100MW/400MWh di Lahad Datu, yang akan menjadi terbesar di Asia Tenggara apabila mula beroperasi Julai ini, membantu kestabilan grid dan integrasi solar.

ECoS yang ditubuhkan menerusi Enakmen Bekalan Gas 2023 dan Bekalan Elektrik 2024, kini mengawal selia sektor tenaga Sabah, termasuk perancangan bekalan, pelesenan dan elektrifikasi luar bandar. 

Sabah menyasarkan liputan penuh elektrik luar bandar menjelang 2030, SAIDI di bawah 100 minit, dan status karbon neutral menjelang pertengahan abad.

Margin rizab tenaga Sabah dijangka melebihi 25 peratus menjelang suku ketiga 2025 hasil pelaksanaan tiga projek utama: loji diesel sewa interim (sudah beroperasi), BESS Lahad Datu, dan loji gas interim 100MW di Kimanis.

Beberapa loji tenaga baharu juga diluluskan termasuk gabungan solar, hidro dan gas.

Sabah turut meneroka tenaga alternatif seperti biomas, geoterma, angin, teknologi OTEC dan Small Modular Reactors (SMRs), disokong undang-undang yang mesra pelabur.

Dalam kerangka integrasi tenaga serantau ASEAN, talian Sabah-Sarawak dijangka siap hujung tahun ini, manakala projek Southern Link 275kV akan memperkukuh sambungan grid timur dan barat Sabah, serta membuka potensi eksport tenaga hidro.

“Namun, isu tarif dan subsidi masih mencabar. Purata tarif kekal 34.5 sen/kWh sejak 2014, memerlukan lebih RM700 juta subsidi pada 2025.

“ECoS kini sedang melaksana model tarif mampan berasaskan kerangka ICPT secara berperingkat.

“Peralihan tenaga Sabah bukan sekadar membekal kuasa, tetapi memastikan keadilan dan keterangkuman untuk semua,” kata Nasser.